Oleh Afrina Aziz
“Saya bertemu suami di aplikasi ‘Goncang Tiga Kali’. Aplikasi ini untuk mereka yang serius mencari jodoh. Caranya mudah saja — anda diberi peluang untuk goncang peranti anda tiga kali. Goncangan pertama, mungkin rasa ‘boleh tahan’. Kedua, mula rasa nak pilih-pilih. Tapi bila sampai goncangan ketiga, sistem akan sahkan calon itu sebagai jodoh anda! Nak tak nak, belajarlah bercinta selepas nikah dan sama-samalah membina masjid dan berusaha ke syurga. Seronok, kan? Bebas daripada maksiat. Goncangan ketiga selalunya jackpot! Nak rupa Pan Asia, Bollywood, Hollywood? Semua ada!” Girang suara wanita itu di corong radio.
“Awas! Patuhi syarat aplikasi. Jika langgar peraturan, anda akan disenarai hitam. Aplikasi ini hanya untuk yang serius mahu berkahwin, bukan sekadar uji pasaran diri. Jadi, tunggu apa lagi? Muat turun ‘Goncang Tiga Kali’ sekarang! Gerenti puas hati!” Suara lelaki pula kedengaran menggantikan wanita tadi.
“Mengarut.” Gumam aku. Tangan kiri yang menggenggam stereng kereta digerakkan untuk menukar siaran radio.
“Anak-anak kita tak dapat memilih siapa bapa mereka, puan-puan...” Rancangan radio bertukar. Segmen motivasi pula bergema di dalam kereta. Aku terus mematikan radio. Sampai juga di kedai kopi pilihan Maria, kawan aku.
“Tak serik lagi? Kali ini sebab apa pula? Setiap kali kau putus cinta mesti kau menangis. Maksudnya, setiap minggulah kau akan datang menangis dekat aku disebabkan lelaki yang berbeza-beza.” Maria putus cinta lagi. Buat kali ke-30.
“Aku gelilah dengan dia!” Aku mengangkat kening dan pura-pura terkejut, tetapi sebenarnya, mengejek.
“Kau tak tahu bagaimana rasa sakit putus cinta. Sekarang aku sedang cuba mencari di aplikasi ‘Goncang Tiga Kali’ yang viral tu.” Masih tidak serik.
“30 kali kau putus cinta, semuanya kerana masalah yang hampir sama. Pengotor, hodoh, miskin; macam-macamlah. Apa kata kau berhenti dulu bercinta sampailah kau boleh belajar menerima kekurangan orang. Kau sendiri pun banyak kekurangan, kan?” aku berterus terang.
“Amboi, kau kalau bercakap, memang pandai. Umur kita sudah banyak. Nak tak nak, perlulah segera mencari. Lainlah kau kalau nak jadi andartu.” Dia sengaja menyakitkan hati aku.
Aku memang tak boleh terima gelaran andartu. Cukuplah orang kampung panggil aku begitu. Aku terus beredar dari kedai kopi itu, tak pedulikan Maria. Sudahlah tak boleh ditegur, ada hati pula nak menghina. Kawan apa macam tu? Dia hanya mencari aku apabila putus cinta. Waktu dia gembira, dia akan meraikan dengan kawan-kawan lain. Kini, perkataan andartu yang keluar dari mulutnya masih terngiang-ngiang. Entah kenapa, terasa benar kali ini.
Tiba-tiba.
“Celaka, Rahman!” Seorang wanita lewat 20-an tiba-tiba menyumpah di hadapan aku sambil menatap skrin telefon. Di sisinya ada anak kecil berusia kira-kira dua tahun. Mereka menghalang jalan aku di kaki lima hadapan kedai runcit.
“Tumpang lalu, dik.” Aku menegur. Dia memandang wajah dan tubuh aku berulang kali, sambil bermain dengan memek mukanya.
“Dah kahwin?” Aku menggelengkan kepala. Tiba-tiba pula dia nak menyibuk hal orang.
“Akak patut kahwin, kak. Saya tengok akak macam dah lanjut usia. Wanita ada jam biologi, tau. Saya pun kahwin cepat sebab orang kata anak jadi bijak kalau beranak sebelum 30. Tapi akak mesti dah lebih 30, kan? Tak apalah, janji ada anak, kan?” Eh? Siapa dia nak cakap macam tu? Gila agaknya.
“Siapa Rahman yang celaka tadi?” hati aku panas. Sakit hati dengan Maria pun belum reda lagi.
“Oh, Rahman itu suami saya. Wajahnya seperti pelakon Hindustan, tapi sayang, papa kedana. Nak beri duit beli susu anak pun dia tak mampu. Apalah nasib saya.”
“Ah, akak jangan menyibuklah!” Ujarnya sambil menjeling. Aku perasan tangannya segera membuka aplikasi ‘Goncang Tiga Kali’ sambil menaip report panjang berjela.
“Kita perlu belajar menerima kekurangan pasangan dahulu, barulah buat keputusan untuk sehidup semati dengannya. Buat apa terburu-buru?” Aku sengaja mencemuh. Biar dia terasa. Jangan sesuka hati mencelakakan pasangan.
“Cakap pandailah. Orang macam akak ni, perlu ikhtiar mencari di aplikasi pula. Nak tunggu orang sapa depan-depan, siapalah yang sudi, kan?” Wanita itu terus beredar.
Aku bukannya tua sangat. Hidup solo ni, less drama, kata orang putih. Tetapi aku terfikir, adakah betul yang aku mudah berkata-kata kerana aku belum benar-benar diuji dalam hubungan seperti mereka. Kalau aku menua tanpa sempat melahirkan anak? Masih adakah lelaki yang mahu wanita seusia aku?
Apa salahnya aku cuba mencari. Mana tahu, aku masih laku.
Tanpa berfikir panjang, aku terus mencari aplikasi ‘Goncang Tiga Kali’. “Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Seperti ada suara yang berbisik di telinga. Selesai memuat turun, aku melakukan carian dan berharap aku menjumpai lelaki yang elok segalanya. Aku pun ada cita rasa juga.
Aku menggoncang sehingga telefon bergetar, menandakan aku sudah dipadankan dengan lelaki pertama. Rupa-rupanya, selepas dipadankan, kita akan dibawa ke panggilan video. Begitu modus operandinya. Aku cepat-cepat merapikan penampilan aku di dalam kereta.
Ah sudah. Lelaki pertama ini wajahnya memang kacak. Sayang, sudah beristeri! Tertangkap apabila aku mendengar suara isterinya memanggil dengan manja. Cepat-cepat dia mengatakan bahawa hajatnya berada di aplikasi ini adalah untuk mencari isteri kedua. Mahu ikut sunnah. Walaupun kami diberikan masa selama seminggu untuk berkenalan menerusi aplikasi ini, aku memilih untuk block. Usah buang waktu aku!
Aku meneruskan pencarian. Lelaki kedua pula dipadankan dengan aku. “Aduh!” Aku berkata dalam hati. Kali ini, langsung tidak menepati cita rasa. Aku mahu lelaki yang bertubuh kekar. Dia tidak berbaju, jadi aku tahu menghakimi. Apabila dia meminta izin untuk ke tandas, aku cepat-cepat mematikan panggilan video. “Block! Ew!”.
“Baiklah, ini goncangan ketiga. Ramai pengguna yang kata goncangan ketiga mesti akan dapat yang sempurna.” Tiada jeda, tiada apa, aku melakukan goncangan ketiga.
Dapat! Kami dibawa ke panggilan video, sama seperti proses tadi. Alhamdulillah, sempurna paras rupanya!
***
“Anak-anak kita tak dapat memilih siapa bapa mereka, puan-puan...” Suara dari radio kedai runcit menyapa telinga tatkala aku sedang bergelut dengan dua anak kecil. Macam pernah dengar ayat itu. Mungkin dalam drama petang atau dalam ceramah yang aku tidak sempat habiskan. Entah. Lantaklah. Aku sedang serabut.
“Celaka, Alif!” Aku mendengus. Aku menaip report kepada aplikasi ‘Goncang Tiga Kali’ sambil mendukung anak yang sedang menangis. Lagi seorang anak, aku biarkan bermain di kaki lima hadapan kedai runcit. Aku datang ke sini untuk membeli susu. Alif pula tidak mahu mengirim wang untuk aku beli susu anak kami. Katanya duitnya cukup-cukup untuk modified Proton Wira. Celaka.