ad

10 anggota polis ditahan SPRM berdepan tindakan tatatertib

1 Ogos 2025, 9:10 AM
10 anggota polis ditahan SPRM berdepan tindakan tatatertib
10 anggota polis ditahan SPRM berdepan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sepuluh anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pahang dan Johor baru-baru ini bakal berdepan tindakan tatatertib, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Hamzah Ahmad.

Beliau berkata siasatan dalaman sudah dilaksanakan termasuk kemungkinan mengenakan tindakan tahan kerja terhadap anggota terbabit.

“Kes ini membabitkan penahanan anggota polis di Pahang dan Johor dan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM. Pihak JIPS akan terus memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Kita tunggu proses siasatan hingga mereka didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman untuk proses seterusnya,” katanya selepas Program Ramah Mesra Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman di sini hari ini.

Hamzah berkata tindakan dalaman oleh JIPS tetap akan diambil selari dengan tatacara sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan enam anggota polis direman hingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum di Temerloh, Pahang.

Selain itu, empat anggota polis ditahan SPRM Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.