ad
AGENDA

Mayat lelaki terikat, dibalut dijumpai di Kalumpang, polis siasat kes bunuh

31 Jul 2025, 1:31 PM
Mayat lelaki terikat, dibalut dijumpai di Kalumpang, polis siasat kes bunuh

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Mayat seorang lelaki dengan kaki dan tangannya terikat serta kepala dibalut kain ditemukan berhampiran landasan kereta api di Sungai Serian, Kalumpang, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata mayat dijumpai orang awam kira-kira 10.30 pagi tadi sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, mayat itu dipercayai dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian berketinggian 11.15 meter.

“Siasatan pihak forensik mendapati kaki dan tangan si mati telah diikat manakala kepala dibalut dengan kain serta dilekatkan dengan pita pelekat hitam dan putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata pemeriksaan fizikal oleh pihak forensik mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih dari empat hari kerana keadaan mayat mula reput selain tiada sebarang dokumen peribadi si mati ditemukan.

“Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Fadli Abdul Aziz melalui talian 03-6064 1222.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.