AGENDA

Sultan Selangor titah rakyat sentiasa kenang jasa pahlawan negara

31 Jul 2025, 1:21 PM
Sultan Selangor titah rakyat sentiasa kenang jasa pahlawan negara

SHAH ALAM, 31 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menitahkan seluruh rakyat agar sentiasa mengenang dan menghargai pengorbanan para perwira negara yang telah berjuang mempertahankan tanah air.

Menerusi perutusan sempena Hari Pahlawan yang dimuat naik di Facebook rasmi Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan kecekalan para anggota keselamatan negara.

“Beta amat menghargai segala pengorbanan, keringat dan kecekalan yang telah dicurahkan oleh para perajurit negara dalam menegakkan keamanan dan mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta ini,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mendoakan agar roh pahlawan yang telah gugur sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Beta turut mendoakan agar roh para pahlawan yang telah gugur di medan perjuangan sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan berjuang di jalan yang mulia," titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda menegaskan bahawa jasa dan bakti para perwira akan terus dikenang dan menjadi obor penyuluh semangat patriotisme dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619