ad
AGENDA

Angka korban di Gaza terus meningkat

31 Jul 2025, 12:37 PM
Angka korban di Gaza terus meningkat

NEW YORK, 31 JULAI: Angka korban dalam kalangan rakyat Palestin yang dilanda kebuluran serta petugas bantuan di Gaza terus meningkat walaupun terdapat penangguhan sementara serangan oleh tentera Israel, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.

“Kami masih menyaksikan kematian dalam kalangan mereka yang sedang mendapatkan bantuan, serta lebih banyak kes kematian akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan,” menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

OCHA memaklumkan bahawa rakan pelaksana PBB kini berdepan tekanan kerja yang sangat tinggi, keletihan dan kelesuan, khususnya disebabkan kekurangan makanan dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Pekerja sosial yang terlibat dalam perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial turut terkesan akibat situasi semasa.

Walaupun keadaan penyampaian bantuan dan bekalan jauh daripada memadai, PBB dan rakan-rakan pelaksana tetap berusaha memanfaatkan setiap ruang yang ada sepanjang tempoh jeda taktikal ini untuk membantu rakyat Gaza yang memerlukan.

Badan dunia itu telah dibenarkan membawa masuk sejumlah kecil bahan api melalui lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem dan Zikim. Hampir separuh daripada bekalan itu dihantar ke utara Gaza bagi menyokong keperluan kritikal dalam sektor kesihatan, perkhidmatan kecemasan, air dan telekomunikasi.

Namun begitu, agensi itu menegaskan bahawa jumlah bahan api yang dibenarkan masuk masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penting bagi menyelamatkan nyawa.

Sehubungan itu, OCHA menekankan bahawa gencatan senjata yang berkekalan amat diperlukan. Jeda taktikal secara sepihak sahaja tidak memadai untuk memastikan aliran bekalan yang berterusan bagi memenuhi keperluan besar di Gaza.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa PBB dan rakan pelaksana masih meneruskan koordinasi dengan pihak berkuasa Israel bagi mengurus pergerakan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza.

“Semalam, tiga misi yang dipermudah membolehkan kakitangan kami mengambil bekalan makanan dari lintasan Kerem Shalom dan Zikim serta memindahkan bahan api ke dalam Gaza.

“Namun, beberapa misi lain berdepan halangan, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan pergerakan atau ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa Israel,” kata OCHA.

Agensi itu turut menegaskan bahawa bagi mempertingkat penghantaran bantuan dan memenuhi keperluan mendesak penduduk Gaza, semua lintasan mesti dibuka sepenuhnya, pelbagai jenis bekalan sama ada kemanusiaan atau komersial perlu dibenarkan masuk, pergerakan bantuan di dalam Gaza hendaklah dilindungi dan dipermudah, manakala petugas bantuan harus diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka.

- BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.