SHAH ALAM, 31 JULAI: Sisters in Islam (SIS) mengumumkan pertubuhan itu menggugurkan perkataan "Islam" dan dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia) mulai sekarang.
Pengarah Eksekutif SIS Forum, Rozana Isa berkata, langkah itu diambil berikutan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat agung luar biasa mereka 11 Julai lalu.
“Mulai sekarang, kami dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia) iaitu nama berdaftar pertubuhan ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Rozana, langkah mengubah nama berkenaan dibuat selaras dengan titah yang dikeluarkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 20 Jun lalu.
Katanya dengan perubahan itu SIS Forum berharap pertikaian mengenai nama NGO terbabit ditamatkan.
Rozana juga berharap ia dapat membuka ruang untuk mereka bergerak ke depan dengan niat yang baik bersama semua pihak.
Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun lalu memutuskan pihak berkuasa agama Selangor terkhilaf apabila mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan SIS sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Dalam keputusan 3-1 itu, panel empat hakim yang dipengerusikan ketua hakim negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membenarkan rayuan NGO terbabit untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi pada 2014.
Mahkamah menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada jabatan agama Islam ke atas "orang yang menganut agama Islam", bukan syarikat.
Bagaimanapun, bahagian lain daripada fatwa itu dikekalkan termasuk kuasa mereka mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan Islam.