AGENDA

Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama strategik dalam perdagangan, tenaga, buruh

31 Jul 2025, 12:28 AM
Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama strategik dalam perdagangan, tenaga, buruh

JAKARTA, 31 JULAI: Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga dan kesalinghubungan rentas sempadan, di samping menyokong usaha memperluas peluang dalam sektor strategik.

Dalam kenyataan bersama susulan Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta kelmarin, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan perhimpunan Kumpulan Kerja Kerjasama Pelaburan Malaysia-Indonesia yang pertama pada 2 September 2024 di Indonesia, bagi mengeratkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Kedua-dua pemimpin mengambil maklum prospek pelaburan baharu dalam sektor seperti infrastruktur, elektronik, farmaseutikal dan peralatan perubatan, serta berikrar meningkatkan kerjasama dalam inisiatif keterjaminan makanan dan inisiatif kelestarian termasuk perdagangan karbon,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia malam tadi.

Prabowo turut mengalu-alukan pelaburan berterusan Malaysia di Ibu Kota Nusantara Indonesia (IKN), khususnya dalam pembangunan tenaga boleh baharu dan hidrogen.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka perdagangan tenaga rendah karbon rentas sempadan antara Semenanjung Malaysia dan Sumatera, termasuk saling sambungan terus bagi meningkatkan integrasi serantau.

Kedua-dua pemimpin turut menggesa agar Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama diadakan segera tahun ini, serta menyeru agar usaha mempercepatkan normalisasi perdagangan di sempadan Tebedu-Entikong.

Dalam sektor industri halal, Indonesia dan Malaysia komited untuk memudahkan akses pasaran dan penyelarasan kawal selia bagi memperkukuh daya saing halal Asean di peringkat global.

Mengambil kira rundingan berpanjangan sejak 2018, kedua-dua pemimpin menyatakan harapan agar Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pembanterasan keganasan dapat dimuktamadkan dan bersetuju meneroka aspek teknikal pemindahan banduan tertakluk kepada perkembangan undang-undang berkaitan di Indonesia.

Kedua-dua pemimpin juga mengulangi komitmen untuk melindungi pekerja migran Indonesia serta memperluas Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) Indonesia di Malaysia selaras dengan komitmen antarabangsa terhadap hak kanak-kanak.

Sebagai pengasas bersama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Malaysia dan Indonesia turut memperteguh kerjasama dalam kelestarian minyak sawit dan menentang kempen negatif global terhadap komoditi itu, menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619