AGENDA

Kes kematian Zara Qairina jadi keutamaan, jamin siasatan telus

30 Jul 2025, 2:31 PM
Kes kematian Zara Qairina jadi keutamaan, jamin siasatan telus

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau memberi jaminan siasatan yang telus dilaksanakan bagi memastikan kes berkenaan benar-benar mendapat keadilan.

“Kita (KPM) menyerahkan sepenuhnya dan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi, untuk isu ini semua soal dalam aspek memberikan bantuan dalam siasatan, kita beri tumpuan penuh… kita juga perlu berlaku adil dengan memastikan kesejahteraan warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah, 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Sementara itu, Fadhlina berkata pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bertujuan mewajibkan pendidikan menengah yang diluluskan Dewan Rakyat malam ini antaranya bagi memastikan ibu bapa mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pendidikan anak-anak mereka.

Beliau berkata KPM komited dalam memastikan anak-anak tetap bersekolah walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kemiskinan.

“Kita telah menyelaraskan bantuan di peringkat KPM untuk memastikan anak-anak kita ini mendapat bantuan yang sewajarnya baik dari segi soal biasiswa dan soal yang terkait rapat dengan bantuan persekolahan lain seperti uniform dan sebagainya,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619