TOKYO, 30 JUL: Ombak setinggi lebih satu meter melanda pantai Pasifik Jepun pada Rabu, beberapa jam selepas gempa bumi dasar laut kuat melanda perairan Semenanjung Kamchatka di timur jauh Rusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan media tempatan, ombak setinggi 1.3 meter direkodkan di sebuah pelabuhan di Wilayah Iwate di timur laut Jepun, manakala gelombang pasang surut setinggi 80 sentimeter turut dikesan di beberapa wilayah lain.
Pihak berkuasa Jepun sebelum itu telah mengeluarkan amaran tsunami dengan ketinggian sehingga tiga meter susulan gempa bumi yang berlaku pada 2324 GMT Selasa, kira-kira 136 kilometer ke tenggara Semenanjung Kamchatka pada kedalaman sekitar 20 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS pada awalnya melaporkan magnitud gempa bumi itu sebagai 8.0.
Kadangkala tsunami didahului oleh beberapa gelombang banjir berskala kecil.
Agensi Meteorologi Jepun menggesa penduduk berpindah ke kawasan tinggi atau bangunan untuk pemindahan, dan kekal di situ buat sementara waktu meskipun berdepan cuaca panas terik musim panas.
Pada Rabu, suhu tertinggi mencecah rekod 41.2 darjah Celsius di Tamba, Wilayah Hyogo di utara Kyoto, menurut agensi berkenaan.
Amaran tsunami dijangka kekal berkuat kuasa sehingga sehari atau lebih lama, kata agensi itu.
Jurucakap kerajaan memaklumkan setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan, dan tiada sebarang keabnormalan dikesan di loji tenaga nuklear.
Menurut USGS, gempa bumi itu merupakan yang terkuat di seluruh dunia semenjak bencana Fukushima pada Mac 2011.
-- BERNAMA-dpa