ad
AGENDA

Selangor kecam insiden pelajar tumbuk guru, tegas pendirian sifar toleransi

30 Jul 2025, 9:24 AM
Selangor kecam insiden pelajar tumbuk guru, tegas pendirian sifar toleransi
Selangor kecam insiden pelajar tumbuk guru, tegas pendirian sifar toleransi

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 30 JUL: Kerajaan Selangor menegaskan pendirian sifar toleransi terhadap keganasan di sekolah, susulan insiden tular membabitkan seorang pelajar yang menumbuk guru di sebuah sekolah baru-baru ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata tindakan tersebut bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan dan maruah warga pendidik.

[caption id="attachment_697954" align="aligncenter" width="712"] EXCO Sumber Manusia V Papparaidu ketika wawancara di pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 22 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Tindakan fizikal terhadap guru tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi petanda jelas kegagalan dalam pembentukan sahsiah dan nilai hormat terhadap guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, pelajar terbabit telah ditahan dan dijangka didakwa dalam masa terdekat.

Papparaidu turut mezahirkan kebimbangan terhadap perubahan budaya dalam kalangan pelajar yang semakin berani mencabar dan bertindak kasar terhadap guru, lebih-lebih lagi apabila segelintir ibu bapa enggan menerima teguran terhadap anak mereka.

“Jika dahulu guru dimuliakan, hari ini ramai pelajar berani membantah dan mencabar. Ada pula ibu bapa yang terlalu melindungi anak tanpa asas. Pendidikan bermula di rumah, jika ibu bapa gagal tunjuk contoh baik, anak-anak menjadikan guru sasaran,” ujarnya.

Beliau turut menghargai kesabaran dan profesionalisme guru terlibat serta menggesa warga pendidik supaya tidak berdiam diri sekiranya berdepan kekasaran atau ancaman.

“Sikap beliau wajar dicontohi. Kelakuan biadab dan ganas mesti dikenakan tindakan undang-undang. Keselamatan dan maruah guru mesti dipertahankan agar sistem pendidikan kita terus dihormati dan berkesan,” tegasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.