AGENDA

Disyaki terima rasuah, dua pegawai kanan, seorang pesara polis ditahan

29 Jul 2025, 11:00 AM
Disyaki terima rasuah, dua pegawai kanan, seorang pesara polis ditahan

KUANTAN, 29 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman tiga pegawai kanan polis termasuk seorang yang sudah bersara kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM110,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum di sekitar negeri itu.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 4 Ogos itu dikeluarkan Majistret Tan Chiew King selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 8.30 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh.

"Siasatan awal telah menahan empat suspek dan mendapati kesemuanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari 2022 hingga 2024.

"Seorang daripada suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya sebelum mengagihkan kepada suspek lain,” katanya.

Bagaimanapun, seorang suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619