AGENDA

Pearly-Thinaah kini nombor dua dunia

29 Jul 2025, 10:02 AM
Pearly-Thinaah kini nombor dua dunia

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah buat badminton Malaysia apabila menduduki ranking kedua dunia, menurut kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Gandingan itu mencapai kedudukan tertinggi sejak era kegemilangan pasangan legenda Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada tahun 2009.

Pearly-Thinaah naik satu anak tangga dengan mengumpul 89,416 mata, di belakang beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang kekal di kedudukan teratas dengan 111,634 mata.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menembusi kelompok 20 terbaik dunia selepas naik dua anak tangga ke ranking ke-20 dengan 45,090 mata.

Dalam kategori beregu lelaki, naib juara Terbuka China 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan kedua dunia dengan 94,950 mata, di belakang juara Terbuka Jepun 2025 dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang mengumpul 99,405 mata.

Bekas pasangan nombor satu dunia dan beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula turun satu tangga ke kedudukan keempat dengan 80,980 mata.

Bagi acara beregu campuran, pasangan negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali ke kelompok tiga terbaik dunia selepas naik satu anak tangga dengan 85,013 mata.

Bagaimanapun, pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turun dua anak tangga ke tempat kelapan dengan 72,998 mata, manakala gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mengalami penurunan ke kedudukan ke-16 daripada tangga ke-13 dengan 52,363 mata.

Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao kini muncul sebagai pemain perseorangan utama negara selepas naik dua anak tangga ke ranking ke-24 dengan 46,551 mata.

Pemain profesional Lee Zii Jia yang tidak beraksi sejak Mac lalu akibat kecederaan turun dua tangga ke kedudukan ke-35 dengan 38,890 mata.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita, pemain kebangsaan K. Letshanaa naik satu tangga ke kedudukan ke-41 dengan 32,918 mata, manakala pemain profesional Goh Jin Wei jatuh dua anak tangga ke tempat ke-47 dengan 30,165 mata.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619