ad
AGENDA

Wang KWSP RM385,000 lesap, eksekutif agensi kerajaan jadi mangsa tipu

29 Jul 2025, 9:53 AM
Wang KWSP RM385,000 lesap, eksekutif agensi kerajaan jadi mangsa tipu

KUCHING, 29 JULAI: Seorang penolong eksekutif sebuah agensi kerajaan berusia dalam lingkungan 50-an mengalami kerugian RM385,000, selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan laporan, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa kononnya bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya setelah diminta membuat bayaran tambahan.

Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.