ad
AGENDA

China dominasi pembangunan AI global, lebih 1,500 model dilancar

29 Jul 2025, 7:40 AM
China dominasi pembangunan AI global, lebih 1,500 model dilancar

SHANGHAI, 29 JUL: China terus mendominasi pembangunan model kecerdasan buatan (AI) berskala besar di peringkat global dengan sebanyak 1,509 model dilancarkan setakat ini, menurut data yang dikemukakan pada Persidangan AI Sedunia (WAIC) 2025.

Negara itu menyaksikan pertumbuhan pesat dalam industri AI, disokong oleh sistem perindustrian yang lengkap merangkumi industri asas dan pengaplikasian.

Data pemantauan dari Akademi Maklumat dan Teknologi Komunikasi China (CAICT) menunjukkan lebih 35,000 syarikat AI di peringkat global dan lebih 5,100 daripadanya atau 15 peratus berpangkalan di China.

Selain itu, China turut mencatat kehadiran 71 syarikat 'unicorn' AI, iaitu 26 peratus daripada keseluruhan 271 syarikat unicorn AI di dunia.

Pada masa yang sama, jumlah perusahaan yang tersenarai dalam bursa saham melebihi 300 di China, menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pendapatan keseluruhan industri AI di negara itu, menurut CAICT.

Inovasi oleh syarikat 'unicorn' AI merangkumi pelbagai sektor utama termasuk model besar, pemanduan autonomi, kecerdasan robotik, aplikasi kecerdasan komersial dan cip pengkomputeran AI.

- BERNAMA-CMG

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.