ad
AGENSI

Premis kitar semula dikenal pasti punca bau abnormal di Sungai Semenyih

29 Jul 2025, 6:35 AM
Premis kitar semula dikenal pasti punca bau abnormal di Sungai Semenyih
Premis kitar semula dikenal pasti punca bau abnormal di Sungai Semenyih
Premis kitar semula dikenal pasti punca bau abnormal di Sungai Semenyih

SHAH ALAM, 29 JUL: Sebuah premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau abnormal di Sungai Semenyih yang dikesan sekitar jam 1.40 pagi semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaludin berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama beberapa agensi mendapati bau tersebut sepadan dengan aliran dari Sungai Kabul yang berhampiran premis terbabit.

[caption id="attachment_677696" align="aligncenter" width="755"] EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika sidang media perasmian kolam tadahan Sungai Kayu Ara di Kampung Chempaka, PJU1, Petaling Jaya pada 13 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Semakan LUAS dan agensi-agensi di premis terbabit menemukan bahan buangan daripada aktiviti kitar semula bahan plastik yang tumpah, di samping bahan seakan minyak dalam Intermediate Bulk Container (IBC) yang terdedah dan tidak diselenggara rapi,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan turut disertai Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Premis berkenaan diarahkan memindahkan tong IBC ke kawasan tertutup serta menghentikan aliran keluar bahan tercemar. Arahan itu dikeluarkan melalui Pemberitahuan Bertulis mengikut Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999.

Sebagai langkah mitigasi, LUAS meletakkan enam beg karbon teraktif seberat 42 kilogram untuk proses nyah bau di aliran terbabit, selain menghantar sampel ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 79(4), Enakmen LUAS 1999, dan LUAS telah membuka kertas siasatan terhadap premis terbabit atas kesalahan mencemarkan sumber air.

[caption id="attachment_712886" align="aligncenter" width="772"] Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memeriksa bau air Sungai Semenyih selepas mengesan bau abnormal dipercayai berpunca dari aliran Sungai Kabul pada 29 Julai 2025. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]

MPKj pula mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 11, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPKj) 2007 selain menyita premis yang didapati beroperasi tanpa lesen.

“Kerajaan Negeri, LUAS dan agensi berkuasa tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti tanpa kebenaran serta kecuaian mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air,” tegas kenyataan itu.

Susulan kejadian, LUAS segera mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor bagi membolehkan siasatan dan mitigasi dilaksana secara menyeluruh.

Pemantauan statik di Sungai Semenyih pada jarak 1.5 kilometer dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Jenderam Hilir turut dipertingkat kepada setiap 30 minit.

Sebagai langkah sokongan, empat pam daripada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) digunakan untuk menyalurkan 616 juta liter sehari (JLH) air mentah ke muka sauk LRA Sungai Semenyih.

Selain itu, pelepasan empangan Semenyih sebanyak 360 JLH turut dilaksanakan bagi meningkatkan kadar pencairan di sungai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.