AGENDA

KDN haram penerbitan dua buku

29 Jul 2025, 6:07 AM
KDN haram penerbitan dua buku

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan Perintah Larangan terhadap dua penerbitan kerana mungkin memudaratkan kemoralan, berkuat kuasa pada 1 dan 3 Julai 2025 melalui Warta Kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan bahawa larangan itu dibuat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], bertujuan mengawal dan mencegah penyebaran bahan tidak sesuai sebelum mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Dua buku yang dikenakan larangan ialah Chase Me oleh Tessa Bailey, yang diwartakan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 13) 2025, serta Ammar Zahrain: The Obsessive Husband oleh Nssignature, yang diwartakan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 14) 2025 berkuat kuasa pada 3 Julai 2025.

"Perintah Larangan ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

"Dalam masa yang sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum," menurut kenyataan itu.

KDN menjelaskan sebagaimana peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan, dilarang secara mutlak di Malaysia.

"Diingatkan bahawa Perintah Larangan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak kerana kesalahan-kesalahan berkaitan dengan hasil penerbitan larangan boleh dikenakan tindakan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkaitan dengan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 boleh diakses menerusi laman web rasmi KDN www.moha.gov.my atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619