Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 29 JUL: Kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) semakin popular khususnya dalam kalangan anak muda, namun jika tidak diurus dengan bijak ia boleh menjadi perangkap hutang jangka panjang.
Walaupun dapat meringankan beban kewangan harian, kaedah pembayaran ansuran ini turut membawa risiko jika digunakan untuk perbelanjaan melebihi kemampuan.
Pekerja gudang Muhammad Naqib Ishak, 28, berkata beliau memilih BNPL untuk membeli alat ganti motosikal, namun tetap berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan.
“Saya lebih suka bayar ansuran walaupun ada duit penuh dan saya pastikan jumlah bayaran 'paylater' saya tidak melebihi 10 peratus perbelanjaan bulanan saya,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, beliau bimbang melihat ada pengguna yang menyalahgunakan kemudahan itu untuk barangan bukan keperluan.
“Bagus sebenarnya kalau kita tahu had belanja ikut bajet, boleh ajar diri kawal perbelanjaan,” katanya lagi.
Bagi pelajar universiti, Danial Syakir Zailani, 22, BNPL menjadi penyelamat ketika berdepan kekangan kewangan memandangkan dirinya tidak mempunyai pendapatan kerana pelajar sepenuh masa.
“Kadang-kadang duit tidak cukup, jadi BNPL bantu saya beli barang penting seperti barang dapur dan barang rumah,” katanya yang menetapkan had RM100 untuk penggunaan BNPL, manakala baki elaun bulanan hanya digunakan untuk perkara penting.
“Kalau tak kawal dan merancang belanja, memang lama-lama akan menjadi beban juga,” tambahnya.
Sementara itu, graduan kulinari, Erin Teh, 21, menggunakan BNPL untuk membeli keperluan peribadi dan peralatan perniagaan kecil-kecilan yang dijalankannya.
“Saya mempunyai kerja sambilan untuk membayar BNPL saya, tapi ramai yang menggunakan BNPL secara berlebihan dan akhirnya ia menjadi beban yang besar untuk mereka,” katanya.
Menurut Erin, BNPL memberi peluang kepada golongan muda yang baru bekerja atau memulakan perniagaan, namun menegaskan pentingnya penggunaan secara berhemah.
Erin berpendapat sistem BNPL boleh dimanfaatkan jika digunakan dengan terancang, terutamanya oleh golongan muda yang baru mula bekerja atau memerlukan modal untuk berniaga.
Pada 21 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUUKP 2025 bagi melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan berkata penggubalan RUU itu bertujuan menangani kelompongan kawal selia dalam sektor yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah dieksploitasi.
Menurut Lim Hui Ying, RUU berkenaan antara lain bertujuan menyeragamkan rangka kerja kawal selia kredit pengguna yang kini berbeza mengikut sektor.
Melaluinya, SKP akan ditubuhkan sebagai badan utama mengawal selia perniagaan kredit yang kini beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.