ad
AGENDA

Tiga pegawai PBT ditahan, disyaki terima rasuah permudah lulus pelan bangunan

28 Jul 2025, 8:54 AM
Tiga pegawai PBT ditahan, disyaki terima rasuah permudah lulus pelan bangunan

KUALA TERENGGANU, 28 JULAI: Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu ditahan reman enam hari bermula hari ini kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.

Perintah reman hingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan pada 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari 2015 hingga 2019.

"Mereka dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing,” kata sumber sambil memaklumkan jumlah wang suapan tersebut merangkumi 14 projek terlibat.

Sumber turut memaklumkan tangkapan tersebut adalah susulan penahanan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan pada Januari lepas yang melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.