AGENDA

Bantuan Musim Tengkujuh diteruskan, manfaat lebih 330,000 pekebun kecil

28 Jul 2025, 8:00 AM
Bantuan Musim Tengkujuh diteruskan, manfaat lebih 330,000 pekebun kecil

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini sebagai usaha membantu pekebun kecil yang terkesan akibat ketidaktentuan cuaca, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebanyak RM264.91 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan, yang memberi manfaat kepada lebih 330,000 penerima di seluruh negara termasuk di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“Bantuan ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI membela nasib masyarakat luar bandar. BMT bukan sekadar bantuan kewangan sekali beri, ia adalah talian hayat dan penyambung rezeki saat musim hujan menggugat hasil tuaian.

“Inilah wajah sebenar keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap pekebun kecil yang menjadi nadi kepada industri negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ketidakstabilan harga komoditi dan cuaca yang tidak menentu saban tahun memberi tekanan kepada pekebun kecil dari segi hasil dan pendapatan.

Justeru, beliau berkata sokongan seperti BMT merupakan satu bentuk intervensi penting dalam dasar pembangunan luar bandar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai sokongan ekonomi malah sebagai pengiktirafan kepada keringat pekebun kecil.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619