AGENDA

Saluran paip gas Petronas di seluruh negara patuhi piawaian antarabangsa

28 Jul 2025, 5:25 AM
Saluran paip gas Petronas di seluruh negara patuhi piawaian antarabangsa

SHAH ALAM, 28 JULAI : Tahap keselamatan talian paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya mengikut standard ditetapkan piawaian antarabangsa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato' Sri Abdul Rahman Mohamad berkata ia berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di lokasi insiden letupan paip gas yang berlaku pada 1 April lalu.

"Siasatan mendapati tahap keselamatan talian paip gas milik Petronas di Putra Heights mengikut standard ditetapkan piawaian antarabangsa.

"Berdasarkan langkah yang telah diambil dan pemeriksaan yang dijalankan oleh JKKP, sistem paip gas seluruh jajaran di Malaysia masih lagi selamat.

"JKKP sentiasa komited memastikan tahap keselamatan yang tinggi bukan sahaja kepada pekerja malah turut memberi keutamaan keselamatan orang awam," katanya.

Beliau menjawab sesi pertanyaan lisan dalam Dewan Rakyat berhubung letupan paip gas Petronas di Putra Heights dan jaminan kerajaan bahawa sistem paip gas Malaysia masih selamat.

Abdul Rahman berkata JKKP turut mengarahkan pihak operator paip gas supaya segera melaksanakan langkah kawalan dan penambahbaikan bagi memastikan operasi paip gas kekal selamat dan berintergiti.

"Antara tindakan yang akan dilaksana adalah menjalankan penilaian teknikal paip gas, meningkatkan kekerapan rondaan khusus di kawasan berisiko, memasang sistem pemantauan masa nyata dan menambah bilangan peranti pengesanan," katanya.

Mengulas berhubung keputusan letupan paip gas Putra Heights, Abdul Rahman berkata kementerian melalui JKKP merupakan salah satu agensi dipertanggungjawab menjalankan siasatan teknikal kenal pasti punca insiden tersebut.

Jelasnya, proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas, pengambilan sampel paip untuk analisis ujian makmal, semakan sistem kawalan dan analisis komputer.

"Hasil siasatan mendapati paip gas terlibat memenuhi spesifikasi teknikal ditetapkan tetapi ia patah setelah bahagian sambungan kimpalan mengalami kelesuan mekanikal menyebabkan berlaku 'fatigue'.

"Paip telah mengalami pergerakan ketara dalam tanah disebabkan oleh perubahan fizikal selain aktiviti antropogenik di sekitar kawasan kejadian turut menyumbang kepada ketidakstabilan tanah," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619