AGENDA

Kapal tanker ditahan bersauh secara haram di perairan Batu Pahat

27 Jul 2025, 1:13 PM
Kapal tanker ditahan bersauh secara haram di perairan Batu Pahat

JOHOR BAHRU, 27 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tanker kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat dekat sini, tengah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata kapal berkenaan ditahan di kedudukan kira-kira 12.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting selepas nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika pemeriksaan dilakukan pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata kapal yang berdaftar di Bridgetown, Barbados dan sedang dalam perjalanan dari Dubai ke Vietnam itu telah memasuki Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka dengan membawa muatan tar seberat 6,894 tan metrik.

"Kapal tersebut didapati dikendalikan oleh 18 kru termasuk nakhoda yang kesemuanya warganegara India berusia antara 22 hingga 45 tahun. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Zaini berkata kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Maritim Malaysia terus komited dan ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal supaya sentiasa mematuhi segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dalam usaha membanteras kegiatan berlabuh secara haram," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619