ad
AGENDA

Kanak-kanak catat rekod dunia, kenali 200 negara, mata wang kurang 12 minit

27 Jul 2025, 9:34 AM
Kanak-kanak catat rekod dunia, kenali 200 negara, mata wang kurang 12 minit

SEREMBAN, 27 JULAI: Siapa sangka, pada usia enam tahun seorang kanak-kanak lelaki D Devakshean berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan kepintaran luar biasanya mengenal pasti 200 negara serta mata wang masing-masing dengan tepat dalam masa 11 minit 45 saat.

Berdasarkan kebolehan unik itu, namanya tercatat dalam senarai British World of Records (BWR) dan diiktiraf sebagai Young Global Expert to Identify Flags and Currencies of 200 Countries of the World.

Lebih membanggakan, kanak-kanak genius itu turut tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian Most Foreign Currencies Identified by a Child in One Minute selepas berjaya mengenal pasti 65 mata wang asing dalam masa seminit.

Ibunya G. Devamalar, 37, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata anaknya mula menunjukkan minat terhadap bendera negara sejak berusia setahun apabila dia boleh mengenal pasti dan menyebut bendera Malaysia dengan tepat.

“Sejak kecil memang nampak kebolehan luar biasanya. Bila tunjuk gambar atau bendera, dia cepat ingat jadi daripada situ kami mula latihnya dan pada usia dua tahun dia mencipta rekod dengan mengenal pasti 241 negara.

“Daya ingatannya memang luar biasa, apa sahaja kami tunjuk dia boleh ingat bukan sahaja bendera dan nilai mata wang asing tetapi banyak lagi, dia boleh tangkap dengan cepat,” katanya selepas penyerahan sijil penghargaan daripada Koordinator BWR di Malaysia Prof Datuk Dr S Santharasekaran dan wakil MBR V Menaga kepada Devakshean di sini hari ini.

Devamalar berkata pada 2022 dan 2024, Devakshean turut menerima beberapa pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa termasuk Amazing Malaysian Book of Records, Jakchi Book of World Records dan Cholan Book of World Records.

Devamalar berkata beliau dan suami A Devakumaran, 41, sentiasa menyokong segala perkembangan dan minat anak tunggalnya itu selain menyatakan mengambil masa sebulan sebagai persediaan melatih Devakshean sebelum memohon untuk MBOR dan BWR pada tahun ini.

“Anak saya suka tengok YouTube. Jadi, kami muat naik bahan-bahan seperti senarai mata wang asing dan sebagainya ke YouTube dan dia belajar sendiri melalui platform itu. Dia jarang bermain, dia suka baca buku dan belajar sendiri itu memang tabiatnya, kami tak pernah paksa, itu memang minat dia,” katanya.

Devamalar turut berharap pencapaian luar biasa anaknya itu dapat membuka lebih banyak peluang lain termasuk menyertai Guinness World Records selain melihat potensi lain yang boleh dikembangkan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Devakshean yang dilahirkan pada 10 September 2019 berkata dia sangat menyukai bendera Malaysia dan subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains selain bercita-cita menjadi anggota bomba.

Sementara itu, Santharasekaran berkata pihaknya berbangga dengan pencapaian yang diraih Devakshean selain mengalu-alukan mana-mana anak Malaysia untuk mengetengahkan bakat masing-masing, sekali gus mengharumkan nama negara.

“Kita buat penilaian yang teliti, Devakshean melalui tiga kali penilaian, kanak-kanak ini seorang yang istimewa kerana dapat kenal 200 negara dan mata wang dalam masa kurang 12 minit, kami memilih mana-mana yang terbaik dan bukan senang untuk capai bakat ini,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.