AGENDA

Rakyat diseru kibar Jalur Gemilang simbol cinta negara, lambang perpaduan

27 Jul 2025, 4:37 AM
Rakyat diseru kibar Jalur Gemilang simbol cinta negara, lambang perpaduan

MUAR, 27 JULAI: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyeru rakyat Malaysia menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing dengan penuh rasa bangga, sebagai tanda sokongan kepada kempen berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing. Jom, kita sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara.

“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Fahmi berkata sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi tanggungjawab besar seluruh rakyat dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperteguh kecintaan terhadap negara.

“Ia membawa tanggungjawab besar dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan, satu bulan yang menuntut kita semua mengimbau sejarah, menghargai pengorbanan dan memperbaharu iltizam terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.

Penghayatan terhadap nilai kemerdekaan, katanya amat penting supaya rakyat memahami erti sebenar kebebasan dan kehidupan sebagai sebuah masyarakat merdeka.

“Hal ini kita lakukan untuk memaknai sebuah kehidupan dan kepentingan menjadi masyarakat yang merdeka. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat dibina berlandaskan keunikan kaum yang pelbagai di negara kita,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa semangat kebersamaan yang terbentuk sejak 68 tahun yang lepas melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan telah menjadi teras kepada keamanan dan kestabilan negara.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619