ad
AGENDA

RMK-13 dijangka lonjak industri semikonduktor negara dalam rantaian bekalan global

27 Jul 2025, 3:10 AM
RMK-13 dijangka lonjak industri semikonduktor negara dalam rantaian bekalan global

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Industri semikonduktor Malaysia bersedia untuk mendapat manfaat daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) ketika kerajaan berusaha untuk mengukuhkan peranan negara dalam rantaian bekalan global.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata pelan lima tahun itu penting dalam persekitaran peralihan corak perdagangan global didorong oleh ketegangan geopolitik dan langkah perlindungan seperti dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

“Industri semikonduktor merupakan penyumbang terbesar dalam sektor pembuatan, dijangka menerajui peningkatan Malaysia dalam rantaian nilai global.

"Susulan cabaran daripada tarif AS ketika ini adalah penting untuk meletakkan pengeluar Malaysia sebagai pemain global utama," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Aimi Zulhazmi berkata RMK-13 juga perlu menggariskan strategi jelas untuk memajukan Malaysia sebagai pengeluar cip mewah untuk kecerdasan buatan (AI) dan elektronik termaju.

Beliau berkata pelan itu mesti seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, menyasarkan pertumbuhan enam peratus dalam sumbangan pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) khususnya menerusi eksport.

Pertingkat Daya Saing Negara

Sementara itu, Ahli Ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata RMK-13 perlu menangani cara untuk meningkatkan daya saing negara dengan meningkatkan produktiviti syarikat dan pekerja.

"Produktiviti bermakna melakukan perkara dengan lebih baik, bermaksud penggunaan teknologi yang baharu dan lebih cekap," katanya.

Beliau berkata jika lebih banyak syarikat tempatan menjadi berdaya saing di peringkat global, tawaram pekerjaan bergaji tinggi akan menyusul.

Nungsari menegaskan bahawa perbelanjaan pembangunan mesti mengutamakan pendidikan, menambah baik kualiti pengajaran dan persekitaran pembelajaran untuk meningkatkan taraf standard sekolah.

“Kita (Malaysia) mempunyai banyak universiti tetapi harus beralih menjadi pusat penyelidikan yang menjana harta intelek dalam bidang strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan robotik,” katanya.

Memandangkan ruang fiskal yang terhad untuk perbelanjaan pembangunan, beliau berkata RMK-13 harus memberi tumpuan kepada asas.

"Dana awam harus disalurkan ke arah barangan awam seperti pendidikan. Pada masa sama, kerajaan boleh menawarkan insentif fiskal untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam pendigitalan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan tenaga boleh baharu," katanya.

RMK-13 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 31 Julai ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.