ad
AGENDA

Pelajar tiada masa: Upah buat tugasan akademik jadi solusi?

27 Jul 2025, 2:00 AM
Pelajar tiada masa: Upah buat tugasan akademik jadi solusi?
Pelajar tiada masa: Upah buat tugasan akademik jadi solusi?
Pelajar tiada masa: Upah buat tugasan akademik jadi solusi?
Pelajar tiada masa: Upah buat tugasan akademik jadi solusi?

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 27 JULAI: Isu pelajar upah pihak ketiga siapkan tugasan akademik cetus perdebatan sama ada perkhidmatan berkenaan membantu atau membantut pendidikan pelajar pendidikan tinggi.

Pensyarah Komunikasi Liberal, Muhammad Azim Zaid berkata khidmat sedemikian tular sejak 2022 dan kini menjadi satu “jalan pintas” yang semakin diterima, khususnya pelajar yang sibuk bekerja.

“Ramai pelajar separuh masa guna servis ni sebab mahu fokus kerja hakiki tapi daripada sudut ilmu, mereka tidak akan tahu apa yang mereka belajar dan akan ada kesukaran melontarkan idea,” katanya.

[caption id="attachment_712356" align="alignleft" width="349"] Pensyarah Komunikasi Liberal, Muhammad Azim Zaid[/caption]

Beliau menambah, perkhidmatan ini memerlukan kos yang tinggi kerana beliau pernah mencuba sendiri untuk lihat kesahihannya dan dikenakan bayaran sehingga RM400.

“Servis ni juga boleh jadi satu penipuan, pelajar bayar mahal tapi tidak tahu siapa buat dan tiada kesahihan kalau tugasan tersebut disiapkan atau tidak,” jelasnya.

Menurut Azim, pihak berkuasa dan institusi perlu membuat kajian menyeluruh tentang kewujudan khidmat berkenaan serta kesannya terhadap proses pembelajaran.

Pelajar kewartawanan, Atiqah Abd Halim, 22, pula melihat perkhidmatan itu mempunyai manfaat dalam keadaan tertentu, tetapi tidak seharusnya dijadikan kebiasaan.

[caption id="attachment_712357" align="alignright" width="343"] Atiqah Abd Halim[/caption]

“Kalau tugasan terlalu susah dan kita betul-betul perlukan bantuan, boleh sahaja kalau mahu gunakan tapi kalau tugasan senang pun nak upah, itu sudah menjadi tak bermanfaat langsung dan membazir,” katanya.

Beliau turut mendedahkan ada rakan yang menggunakan khidmat sama untuk menjawab peperiksaan, menunjukkan isu tersebut sudah wujud sejak lama dan sukar dikesan.

“Tak ada siapa tahu siapa siapkan tugasan tu, pensyarah pun tak dapat kesan sama ada tugasan itu disiapkan oleh pelajar sendiri atau pihak ketiga,” katanya.

Pelajar komunikasi, Ikmal Hanif Ahmad Nazli, 23, pula berpendapat kewajaran khidmat tersebut bergantung kepada niat pengguna sama ada benar-benar perlu atau hanya mahu jalan mudah.

[caption id="attachment_712358" align="alignleft" width="347"] Ikmal Hanif Ahmad Nazli[/caption]

“Kalau niat penyedia servis mahu cari sumber pendapatan tambahan sambil bantu pelajar, boleh sahaja tapi kalau dari pihak yang gunakan servis ini untuk lari dari tanggungjawab, itu sudah melampau dan tak amanah,” ujarnya.

Ikmal turut mengingatkan bahawa penggunaan khidmat pihak ketiga secara berlebihan hanya merosakkan nilai amanah dalam kalangan pelajar.

Kewujudan khidmat tersebut semakin berleluasa di dalam media sosial terutamanya apabila sudah masuk musim akhir semester apabila pelajar perlu menyiapkan bilangan tugasan yang tinggi.

Berdasarkan pemerhatian Media Selangor, perkhidmatan tersebut sering dipromosikan di aplikasi X dan juga Tiktok apabila ada video yang tular mempromosikan perkhidmatan tersebut menimbulkan kerisauan kepada pelajar universiti pada 2024.

Selain daripada perkhidmatan itu, terdapat juga pelajar yang menggunakan AI untuk menyiapkan tugasan yang melanggar etika akademik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.