AGENDA

MOF: Bantuan SARA RM100 sekali beri pada 31 Ogos tidak perlu dimohon

26 Jul 2025, 12:15 PM
MOF: Bantuan SARA RM100 sekali beri pada 31 Ogos tidak perlu dimohon

SEMPORNA, 26 JULAI: Kementerian Kewangan mengingatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri pada 31 Ogos ini tidak perlu dimohon, sebaliknya akan dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan masing-masing.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata pemberian bantuan itu juga tidak melalui mana-mana e-dompet.

"Sehubungan dengan itu, rakyat digesa tidak tertipu dengan scam yang mengatakan bahawa mereka boleh bantu untuk memohon atau memberi link (pautan) kepada mana-mana e-dompet," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Pulau Bum Bum di sini hari ini.

Zamzuri berkata pemberian bantuan SARA itu tidak mengguna pakai orang tengah dan RM100 terus dikreditkan ke dalam kad pengenalan individu berumur 18 tahun ke atas.

"Bagi yang mendapat bantuan ini, boleh terus pergi ke kaunter premis berdaftar SARA, boleh tunai di sana, kalau ada maklumat pihak ketiga yang kata mahu minta daftar, minta tuan puan daftar dalam akaun tertentu, semua itu tidak benar," katanya.

Pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA RM100 sekali beri.

Bantuan kewangan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas ditetapkan di 4,100 kedai di seluruh negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619