ad
AGENDA

Seorang penerjun cedera, dua lagi selamat selepas tersasar ketika mendarat

26 Jul 2025, 2:58 AM
Seorang penerjun cedera, dua lagi selamat selepas tersasar ketika mendarat

KUANTAN, 26 JULAI: Seorang penerjun cedera manakala dua lagi terselamat selepas tersasar dari lokasi pendaratan dalam acara BASE Jump Extreme Challenge bersempena dengan Pesta Kuantan 188, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Zainal Chik, 62, mengalami kecederaan akibat terhempas di kawasan bersimen di pekarangan Menara Kuantan 188.

“Penerjun itu telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang penerjun dari Australia Andrew Morcombe, 35, yang tersangkut di atas pokok dan peserta tempatan Manan Mahusin, 64, yang tersasar di kawasan sungai tidak mangalami sebarang kecederaan.

“Pihak penganjur dan petugas keselamatan telah mengambil tindakan pantas memberikan bantuan kepada peserta,” katanya.

Mohd Adli berkata siasatan awal mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada keadaan angin kencang dan faktor teknikal ketika proses pendaratan.

Acara itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Pesta Kuantan 188 tahun ini dan melibatkan sebanyak 17 peserta dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.