AGENDA

Penanaman lima musim dalam dua tahun bawa reformasi ekosistem padi, beras

25 Jul 2025, 2:11 PM
Penanaman lima musim dalam dua tahun bawa reformasi ekosistem padi, beras

JERLUN, 25 JULAI: Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kedah akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu sekali gus akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memperkukuh kadar sara diri beras negara.

“Inisiatif ini amat dekat di hati saya. Justeru, pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting bagi meningkatkan keupayaan pesawah tempatan serta memastikan hasil tuaian yang lebih mampan,” kata beliau dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menyeru kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus bertindak dengan segera dan secara bersepadu, untuk menjayakan agenda penting tersebut.

Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara pesawah, memahami keperluan mereka dan berazam untuk terus memperkasakan sektor itu melalui pelbagai sokongan serta inisiatif berterusan.

Anwar berkata perkara itu juga, membuktikan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam membela nasib petani selaku tulang belakang sektor agromakanan negara.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke sebuah projek utama pembangunan infrastruktur di bawah Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun, di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam dekat sini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan MADA, lawatan itu kunjungannya kali kedua ke tapak projek tersebut bagi meninjau kemajuan ketika pembangunan infrastruktur pertanian.

Ia sebagai persediaan ke arah pelaksanaan pertanian pintar, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh bekalan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

“Projek yang sedang dilaksanakan ini, memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran serta pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi.

“la dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam Swasta, yang bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah mampu meningkatkan hasil produktiviti pesawah dan menambah pendapatan mereka,” menurut kenyataan MADA.

MADA memaklumkan bahawa program itu juga dilihat sebagai usaha strategik untuk membawa reformasi besar dalam industri padi dan beras negara, sejajar dengan matlamat Kerajaan MADANI.

Kenyataan itu memaklumkan dengan pelaksanaan lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun, negara dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi komoditi strategik ini.

Projek pembangunan itu merangkumi dua komponen utama, iaitu pembinaan dan penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (Projek 1) serta Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 (Projek 2), yang melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1 bilion.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619