SHAH ALAM, 25 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari ini bersempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor 2025.
Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Bacaan Yasin dan doa selamat itu dipimpin Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir dan disertai pegawai serta anggota pasukan keselamatan bertugas di Selangor.
Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat selepas mendengar khutbah bertajuk Pahlawan Sejati.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Pemangku Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati jasa anggota bersenjata yang berbakti mempertahankan negara.
- BERNAMA