SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan diminta menyemak semula syarat penjagaan bayi bawah usia 12 bulan di pusat asuhan termasuk nisbah jagaan bagi mengelak timbulnya kesan kepada ibu bekerja.
EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata ketika ini terdapat dakwaan segelintir pengusaha taska menolak menjaga bayi dalam usia berkenaan memandangkan berdean risiko tinggi seperti tersedak susu.
“Saya kira kerisauan (ibu bapa) itu valid (sah) dan perlu diberi perhatian serius kerana sekiranya satu gerakan untuk pengusaha taska tidak mengambil bayi bawah 12 bulan akan menjadi kesukaran kepada wanita bekerja menghantar anak sejurus habis pantang.
"Aduan itu diperoleh saya dan telah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapatkan maklumat lebih mendalam termasuk kesan gaji minima RM1,700 berkuat kuasa 1 Ogos ini," kata Anfaal Saari.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Townhall Dasar Wanita dan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor di sini, hari ini.
[caption id="attachment_712244" align="alignnone" width="965"] EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari bersama peserta Townhall Dasar Dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024 - 2026 & Dasar Ekonomy penjagaan Negeri Selangor 2024 - 2030 di Dewan Kemajuan Komples PKNS pada 25 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan pengusaha taska itu berkemungkinan dipengaruhi nisbah seorang pengasuh untuk tiga bayi, sekali gus memerlukan kos tinggi bagi mengupah pekerja.
“Ini bermakna penjagaan rapi perlu dilakukan pengusaha taska untuk elakkan kes tidak diingini dan tindakan daripada pihak berkuasa.
“Justeru, saya kira perbincangan perlu dilaksanakan di peringkat persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sama ada menyemak semula syarat nisbah itu.
"Selain itu, memberikan subsidi atau bantuan kepada operator supaya beban operasi itu dapat dikurangkan," katanya.
Anfaal berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk melonggarkan syarat berkaitan taska terbabit kerana peruntukan itu di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak.