Pada zaman Rasulullah SAW, kesalahan meminum arak tidak dikenakan hukuman hudud yang tetap. Para sahabat hanya memukul peminum arak dengan tangan, selipar atau hujung pakaian tanpa bilangan tertentu. Ini kerana nabi tidak menetapkan hukuman khusus terhadap kesalahan itu.
Begitu juga semasa pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq RA, hukuman yang sama masih diamal.
Langkah tegas Umar al-Khattab
Apabila Saidina Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau melihat gejala minum arak semakin berleluasa. Menyedari bahawa pendekatan terdahulu tidak lagi berkesan, beliau bermesyuarat dengan para sahabat bagi mencari penyelesaian. Dalam mesyuarat tersebut, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA mencadangkan supaya hukuman lapan puluh sebatan, kerana ia kadar hudud paling ringan seperti dalam kes qazaf (menuduh zina tanpa bukti). Maka, Umar pun menetapkan hukuman tersebut.
Riwayat-riwayat yang menyokong
Al-Sa’ib bin Yazid meriwayatkan: “Kami biasa membawa peminum arak pada zaman nabi, Abu Bakar dan awal pemerintahan Umar. Kami memukul mereka dengan tangan, selipar dan pakaian. Namun pada akhir pemerintahan Umar, beliau menetapkan hukuman 40 sebatan. Apabila mereka melampau dan terus fasik, Umar naikkan kepada 80 sebatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Anas bin Malik RA juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah menyebat peminum arak dengan 40 sebatan menggunakan pelepah tamar. Begitu juga Abu Bakar. Namun apabila tiba zaman Umar, beliau bermesyuarat dan akhirnya menetapkan 80 sebatan, atas cadangan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf. (Hadis muttafaq ‘alayh; lafaz Muslim)
Pandangan Ali bin Abi Talib
Menariknya, Ali menyatakan beliau tidak akan melaksanakan hukuman hudud sehingga menyebabkan kematian pesalah kecuali dalam kes arak kerana Rasulullah tidak menetapkan hukuman hudud ke atasnya secara pasti. Oleh itu, jika pesalah mati, beliau sedia membayar diyat (ganti rugi). (Hadis muttafaq ‘alayh)
Dalam riwayat lain, Ali RA mencadangkan Umar agar peminum arak disebat 80 kali dengan hujah berikut: “Apabila dia minum, dia akan mabuk; apabila mabuk, dia akan meracau; apabila meracau, dia akan memfitnah.”
Umar menerima cadangan tersebut dan menetapkan hukuman sebat 80 kali.
Pandangan ulama tentang proses ijtihad
Ibnu Daqiq al-‘id menyatakan hadis ini menunjukkan keharusan bermesyuarat dalam menetapkan hukum dan ijtihad pendekatan sah dalam pentadbiran. Bahkan, hadis ini juga menyokong penggunaan qiyas dan istihsan dalam proses ijtihad.
Imam Malik pula meriwayatkan proses perbincangan Umar RA dalam al-Muwatta’ dan menyatakan Ali RA antara yang mencadangkan kadar 80 sebatan.
Namun, Ibnu Hajar mengkritik salah satu riwayat tersebut dengan menyatakan ia mu‘dal (sanadnya terputus). Beliau menegaskan kenyataan “orang meracau dianggap memfitnah” adalah lemah kerana fitnah mensyaratkan niat sedangkan orang meracau tidak sedar apa yang dilakukan.
Oleh itu, riwayat paling kuat tetap menyebut ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA sebagai pencadang sebenar hukuman 80 sebatan.
Punca Umar bermesyuarat
Menurut riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i, Umar bermesyuarat setelah menerima surat Khalid bin al-Walid yang melaporkan masyarakat semakin tenggelam dalam arak dan memandang ringan hukuman. Lalu Umar mengumpulkan golongan Muhajirin dan Ansar untuk berbincang dan mereka sebulat suara menyokong hukuman 80 sebatan.
Adakah berlaku ijmak?
Walaupun sesetengah riwayat menyebut seolah-olah berlaku ijmak (kesepakatan) dalam menetapkan hukuman 80 sebatan, hakikatnya terdapat khilaf (beza pandangan) dalam kalangan para fuqaha.
80 sebatan
Pendapat ini disokong Abu Hanifah, Malik, Ahmad (dalam satu riwayat) dan Al-Shafi‘i (dalam salah satu pendapat). Mereka berpegang pada andaian telah berlaku ijmak semasa pemerintahan Umar.
40 sebatan
Pendapat ini disokong dari riwayat lain daripada Ahmad, pendapat masyhur al-Shafi‘i dan Dawud al-Zahiri. Mereka berhujah hukuman 40 sebatan telah diamal Rasulullah dan Abu Bakar serta tidak pernah dimansuh secara pasti.
Tambahan pula, kes al-Walid bin ‘Uqbah hanya disebat 40 kali menunjukkan seolah-olah Umar sendiri menarik balik ketetapan asalnya (80 sebatan) dan kembali kepada amalan nabi.
Justeru, penetapan kadar hukuman terhadap peminum arak antara isu fikah yang melibatkan ijtihad khalifah, syura para sahabat dan riwayat yang pelbagai.
Ia menjadi bukti hukuman dalam Islam bukan sekadar berpaksi literal semata-mata, bahkan mempertimbang maslahat, perkembangan sosial dan pendekatan kolektif melalui syura.
Khilaf dalam isu ini juga membuka ruang berharga untuk memahami bagaimana ijtihad, qiyas dan istihsan berfungsi dalam sistem perundangan Islam.