SUBANG JAYA, 24 JULAI: Selangor Travel Fair 2025 yang berlangsung di Pasar Seni Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini, menawarkan diskaun harga pakej pelancongan hingga 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata karnival yang disertai 30 pempamer itu turut menyediakan tawaran menarik pembelian 1 produk 1 percuma untuk pakej pelancongan yang disediakan.
“Selangor Travel Fair 2025 merupakan sebahagian kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dengan slogan ‘Selangor Kan Ada’ yang membawa tema untuk komuniti.
“Aktiviti menarik lain adalah bengkel videografi bersama sinemalis, persembahan tradisional oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan nyanyian artis tempatan seperti Lah Ahmad serta Aizat Amdan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Anugerah Industri Pelancongan 2025 do Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.
Yee Ling menambah pihaknya menyasarkan kedatangan seramai 30,000 pengunjung dengan merekodkan resit jualan sejumlah RM500,000.
“Kita telah mulakan penganjuran Selangor Travel Fair sejak tahun lepas di Sunway Pyramid dan untuk tahun kedua kita bergerak ke Kuala Lumpur.
“Ia memandangkan Pasar Seni merupakan lokasi strategik yang sentiasa menjadi tumpuan ramai dan antara Kuala Lumpur dengan Selangor hanya bersebelahan,” ujarnya.
Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dengan jumlah transaksi mencecah RM11.7 bilion sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025)
Kempen TMS2025 menyasarkan lebih 60 program dan acara dengan promosi memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.