AGENDA

Hanya Kuala Selangor catat bacaan IPU tidak sihat

24 Jul 2025, 12:15 PM
Hanya Kuala Selangor catat bacaan IPU tidak sihat

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Kuala Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3 petang tadi, dipercayai dipengaruhi masalah jerebu rentas sempadan, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Beliau berkata bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan dua kawasan mencatatkan status kualiti udara baik manakala 64 kawasan pada tahap sederhana.

“Kemerosotan kualiti udara di kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan. Tiada kebakaran besar berlaku yang boleh menyebabkan jerebu setempat,” katanya.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berpusat di Singapura semalam, Wan Abdul Latif berkata imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 mendapati 42 titik panas dikesan di Sumatera manakala 91 lagi di Kalimantan.

Selain itu, beliau berkata 13 titik panas dikesan dalam negara iaitu 11 di Sarawak dan masing-masing satu di Pahang serta Terengganu.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Pemilik tanah juga diminta mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat berdasarkan PTJK.

Antara tindakan perlu dilaksanakan adalah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619