AGENDA

PMO: Penghargaan khas untuk rakyat ambil kira keupayaan fiskal negara

24 Jul 2025, 9:09 AM
PMO: Penghargaan khas untuk rakyat ambil kira keupayaan fiskal negara

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Penghargaan Khas yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telahpun mengambil kira keupayaan fiskal negara, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata peruntukan itu juga sebagai tambahan kepada apa yang telah direncanakan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Semalam, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan Madani kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.

Turut diumum, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.

Anwar juga berkata ekonomi Malaysia yang berada di landasan kukuh dan meyakinkan di sebalik segala keresahan dan kekangan yang berlaku, telah membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan terus menambah baik ikhtiar menerusi Belanjawan Madani keempat pada Oktober ini sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619