ad
ADN

ADN anggap sumbangan RM100 langkah luar biasa, bersejarah

24 Jul 2025, 6:41 AM
ADN anggap sumbangan RM100 langkah luar biasa, bersejarah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pemberian RM100 kepada seluruh rakyat berusia 18 tahun keatas melalui MyKad bermula 31 Ogos ini merupakan bukti sebenar semangat inklusif dan kepimpinan adil.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young menganggap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai satu langkah luar biasa dan bersejarah.

"Hari ini saya merasa amat gembira bukan sekadar disebabkan pengumuman inisiatif yang disampaikan Perdana Menteri ke-10.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, bantuan tunai diagihkan kepada seluruh rakyat dewasa tanpa diskriminasi," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar mengumumkan semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima bantuan RM100 secara one-off di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Beliau berkata inisiatif itu dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat dan melibatkan peruntukan keseluruhan RM2 bilion.

Mengulas lanjut, David berkata pengumuman hari kelepasan am tambahan pada 15 September sempena Hari Malaysia juga lambang penghargaan kerajaan terhadap semangat perpaduan dan ikatan yang menyatukan rakyat.

"Peruntukan Jualan Rahmah MADANI yang digandakan kepada RM600 juta dan diperluas ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap keluarga mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga yang mampu milik.

"Manakala tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya dengan peruntukan lebih RM500 juta adalah langkah bijaksana yang melegakan jutaan pengguna jalan raya," katanya lagi.

Tambah David, Anwar disifatkan pemimpin berjiwa rakyat ketana ia menunjukkan keikhlasan perdana menteri membela nasib semua lapisan masyarakat selain mendengar rintihan rakyat.

"Beliau bertindak dengan berani dan bijak demi menjamin kesejahteraan rakyat. Rakyat menyambut baik setiap inisiatif ini dengan penuh kesyukuran dan berlapang dada," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.