Oleh Teoh Yee Shen
SUBANG JAYA, 24 JULAI: Penduduk di Jalan Wawasan 1/3, Taman Wawasan Puchong membantah tindakan pihak tertentu yang menanam lebih 15 pokok durian secara haram di lereng bukit.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Lee Jen Uyin berkata beliau menerima aduan penduduk yang tidak selesa dengan semburan racun perosak yang menimbulkan bau menyengat.
“Berdasarkan usia pokok, aktiviti penanaman ini dipercayai telah berlangsung selama beberapa tahun. Kami anggarkan lebih 15 pokok durian telah ditanam di kawasan tersebut,” kata ketika meninjau lokasi berkenaan pada 17 Julai lalu.
[caption id="attachment_712072" align="alignnone" width="779"] Ahli Majlis MBSJ, Lee Jen Uyin melihat keadaan pokok durian ketika tinjauan Media Selangor bersama beliau ke Taman Wawasan Puchong berhubung aduan penduduk yang menanam pokok durian di lereng bukit tanpa kebenaran pada 17 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Tambah beliau, hasil semakan mendapati sebahagian tanah lereng bukit itu adalah milik Air Selangor manakala selebihnya di bawah seliaan MBSJ.
“Pada 18 Jun lalu, MBSJ telah turun ke lokasi, mengikat pita amaran kuning dan mengeluarkan notis larangan agar individu terbabit menghentikan aktiviti penanaman, Namun, selepas beberapa hari, mereka kembali menyembur racun perosak,” jelasnya.
Jen Uyin menegaskan MBSJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas dan merancang untuk menebang semua pokok durian tersebut dalam masa terdekat.
Beliau turut mendedahkan kawasan itu turut dilengkapi tangga menuju ke atas bukit, paip air kecil serta sebuah tangki air besar – seolah-olah dijadikan ‘kebun durian persendirian’.
“Terdapat paip air utama milik Air Selangor yang tertanam di bawah tanah bukit ini dan menghala ke Taman Kinrara. Jika racun meresap ke dalam sistem paip, ia boleh mencemari sumber bekalan air. Akar pokok durian juga berisiko merosakkan struktur paip tersebut,” katanya.
Tambah Jen Uyin, penggunaan racun perosak juga menyebabkan banyak rumput mati, sekali gus melemahkan struktur tanah dan menimbulkan risiko tanah runtuh.
“Tatacara Operasi piawai (SOP) MBSJ dengan jelas melarang sebarang aktiviti pertanian di kawasan lereng bukit dan melarang pembinaan struktur di atas tanah yang menempatkan saluran paip air.
“Sekiranya bukan ditanggung pemaju, kos baik pulih mungkin perlu menggunakan wang pembayar cukai. Justeru, MBSJ amat menitikberatkan isu keselamatan dan penggunaan kawasan lereng bukit,” katanya.
Beliau turut menggesa penduduk yang ingin menghijaukan kawasan agar bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui program seperti kebun komuniti, dan tidak menceroboh atau membangunkan tanah secara sewenang-wenangnya.
[caption id="attachment_712070" align="alignnone" width="812"] Steve Jong Teck Min 53 menunjukkan pokok yang sudah berbuah yang sempat dirakam nya ketika tinjauan Media Selangor bersama Ahli Majlis MBSJ, Lee Jen Uyin ke Taman Wawasan Puchong berhubung aduan penduduk yang menanam pokok durian di cerun tanpa kebenaran pada 17 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Seorang penduduk, Steve Jong Teck Min berkata bau racun dapat dihidu ketika beliau berjoging waktu pagi dan beliau sendiri mengalami ketidakselesaan, selain turut mendengar aduan daripada jiran tetangga.
“Lokasi penanaman itu berada tepat di atas paip air bawah tanah. Jika racun masuk ke dalam sistem paip, ia boleh menjejaskan bekalan air seluruh Taman Wawasan. Walaupun kami sudah menegur, pemilik tetap tidak peduli.
[caption id="attachment_712075" align="alignleft" width="346"] Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Jalan Wawasan 1/3, Kevin Chan Kah Mun[/caption]
“Rumput di lereng bukit juga sudah menjadi kering akibat racun. Penduduk telah membuat aduan kepada MBSJ dan Ahli Majlis, dan pihak berkuasa telah mengeluarkan notis dan memasang pita amaran di lokasi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Jalan Wawasan 1/3, Kevin Chan Kah Mun berkata ramai penduduk mengadu tentang bau racun yang kuat dan mendakwa ia menjejaskan kualiti hidup mereka.
“Kami telah mengemukakan aduan rasmi kepada MBSJ dan Ahli Majlis. Kami yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.