Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 23 JUL: Langkah Kerajaan Persekutuan menurunkan harga RON95 dan pemberian RM100 kepada individu dewasa disifatkan sebagai keputusan tepat dalam tekad meringankan beban hidup rakyat.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata inisiatif itu berpotensi menggalakkan perbelanjaan rakyat sekali gus merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara.
[caption id="attachment_662967" align="aligncenter" width="758"] EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap dalam forum sempena Pameran Udaara Selangor (SAS) di Pusar Penerbangan Serantau (RAC) Skypark Bukit Jelutong, Shah Alam pada 12 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pelarasan subsidi bahan api secara bersasar ini juga tidak membebankan kerajaan, memandangkan ia selari dengan trend penurunan harga minyak mentah global ketika ini.
“Harga minyak mentah kini sekitar AS$70 satu tong. Saya lihat pengumuman perdana menteri adalah langkah yang wajar dan rasional dengan implikasi minimum terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat secara teliti bagi memastikan manfaat sampai terus kepada rakyat tanpa memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negara.
Tambah beliau, penurunan harga bahan api bersama bantuan tunai menerusi program Sumbangan Asas Rahmah akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan memberi kesan positif kepada sektor peruncitan dan perusahaan kecil.
“Di Selangor sahaja, lebih lima juta rakyat dewasa akan menerima manfaat ini. Ia sangat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana membeli keperluan asas.
“Apabila rakyat mempunyai lebihan tunai, aliran wang dalam pasaran akan lebih rancak. Ini menyokong semula aktiviti perniagaan, terutamanya perusahaan mikro dan kecil,” jelasnya.
Menerusi pengumuman khas pagi tadi, perdana menteri memaklumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad.
Beliau berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.