AGENSI

Lebih 1,500 usahawan sertai BizMatch Mega PKNS, teroka jaringan perniagaan

23 Jul 2025, 9:56 AM
Lebih 1,500 usahawan sertai BizMatch Mega PKNS, teroka jaringan perniagaan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Lebih 1,500 peserta menyertai program BizMatch Mega PKNS 2025 Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Program tahunan kali ketiga anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu menyasarkan pembangunan dan pemerkasaan usahawan menerusi sesi padanan perniagaan strategik dengan agensi terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata program ini mencerminkan kejayaan berterusan dalam menyokong aspirasi perniagaan tempatan menerusi akses kepada sokongan pembiayaan, bimbingan serta peluang pasaran lebih luas.

“Ramai individu terpaksa menangguhkan hasrat untuk memulakan perniagaan kerana kekangan modal. Namun, pelbagai bentuk bantuan kewangan sebenarnya telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi menyokong usaha itu.

“Menyedari keperluan ini, PKNS telah mengambil inisiatif untuk menyediakan sebuah platform yang terbuka dan inklusif bagi membantu para usahawan mendapatkan akses kepada maklumat, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan, diiringi EXCO Keusahawanan Najwan Halimi.

Dalam program yang turut melibatkan penyertaan agensi pembiayaan dan keusahawanan, peserta berpeluang membina jaringan dan memanfaatkan peluang secara langsung untuk mengembangkan perniagaan.

Selain sesi padanan perniagaan, turut disediakan kaunter informasi di Pavilion PKNS BizPoint yang menyediakan maklumat berkaitan program keusahawanan PKNS serta keahlian BizClub PKNS, selain informasi mengenai projek hartanah PKNS.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619