AGENDA

PGA serbu kilang haram di ladang sawit, rampas sisa elektronik bernilai RM31 juta

23 Jul 2025, 6:10 AM
PGA serbu kilang haram di ladang sawit, rampas sisa elektronik bernilai RM31 juta

IPOH, 23 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sisa elektronik (e-sisa) bernilai RM31,337,000 dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram yang beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit di Parit, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata antara barangan dirampas termasuk 81 bongkah e-sisa seberat 105,300 kilogram (kg), 5,000kg arang batu, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori treler dan sebuah bangunan pemprosesan berkeluasan 8,400 kaki persegi.

“Hasil siasatan mendapati kilang haram yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram menggunakan peralatan khas dan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.

“Operasi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah itu, turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 70 tahun bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Shahrum berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18, 19, 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 serta Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan mempergiat usaha penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan berkenaan secara haram khususnya di Perak.

“Masyarakat atau pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619