ad
AGENDA

Anggota polis cedera dilanggar kereta pasangan kekasih, dipercayai positif dadah

23 Jul 2025, 5:43 AM
Anggota polis cedera dilanggar kereta pasangan kekasih, dipercayai positif dadah

MELAKA, 23 JULAI: Seorang anggota unit rondaan bermotosikal (URB) berpangkat Lans Koperal cedera ringan selepas dilanggar kereta pasangan kekasih yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Peruna 1, Bukit Rambai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, wanita dan lelaki yang menaiki Perodua Myvi enggan berhenti untuk diperiksa sebelum dikejar lebih tiga unit kereta peronda (MPV) dan URB sejauh 13 kilometer dari Taman Anika, Lorong Pandan hingga ke jalan terbabit.

“Perodua Myvi itu dipandu secara melulu dan tidak berhenti di lampu isyarat merah serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Apabila tiba di Bukit Rambai, suspek telah mengundurkan keretanya dan melanggar motosikal ditunggang anggota lelaki berusia 27 tahun itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasangan kekasih berusia 26 dan 28 tahun itu berjaya ditahan di Bukit Rambai dan pemeriksaan polis terhadap kenderaan itu menemukan dua peket plastik lut sinar dipercayai berisi dadah jenis heroin dianggar seberat 15.06 gram.

Polis turut menemukan alat penimbang dalam kereta berkenaan dan mereka turut didapati positif terhadap dadah jenis methamphetamine.

Kedua-duanya kini direman hingga Isnin bagi siasatan di bawah Seksyen 186 dan 332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.