AGENDA

SUKMA 2026: Bas Smart Selangor diguna untuk bawa atlet, pegawai

23 Jul 2025, 12:38 AM
SUKMA 2026: Bas Smart Selangor diguna untuk bawa atlet, pegawai

Oleh Nur Azyyati Omar

SHAH ALAM, 23 JULAI: Sebahagian Bas Smart Selangor akan digunakan untuk membawa atlet dan pegawai Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun depan.

Dato' Menteri Besar berkata Selangor mesti bersiap sedia dari segi pengangkutan untuk temasya yang dijangka menghimpunkan sekitar 10,000 atlet dan pegawai dari 15 negeri, termasuk kontinjen jemputan Brunei.

"Akan ada kegunaan khas sebahagian Bas Smart Selangor sepanjang SUKMA berlangsung. Kita akan siapkan sebahagian daripada bas ini khusus untuk para atlet dan pegawai supaya tidak mengganggu trafik.

"Kita mahu pastikan kejohanan dwitahunan ini berjalan lancar dan sempurna termasuk aspek pengangkutan," kata Dato' Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan di sini, semalam.

Beliau berkata aspek kelancaran trafik akan diselaraskan dengan kerjasama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri.

"Pada masa sama, Majlis Sukan Negara (MSN) akan memantau pembangunan lokasi pertandingan manakala PBT  bertanggungjawab terhadap jalan masuk, fasiliti awam seperti tandas, serta senarai penginapan untuk pengunjung dan atlet.

"PBT juga perlu memastikan ada senarai tempat tinggal untuk bakal pengunjung dan atlet yang akan tiba," katanya.

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, dengan acara pembukaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan juga memutuskan Para SUKMA diadakan dari 5 hingga 14 September.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619