AGENDA

Anwar desak tindakan segera pemimpin dunia tamatkan krisis Gaza

22 Jul 2025, 12:35 PM
Anwar desak tindakan segera pemimpin dunia tamatkan krisis Gaza

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin dunia supaya mengambil tindakan segera dan bersatu bagi menghentikan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyeru kepada pemimpin dunia supaya bertindak segera dalam menangani krisis di Gaza dan mereka yang mempunyai pengaruh terhadap Israel agar berani bertindak dengan tegas.

Anwar turut menggesa semua kerajaan yang mendukung undang-undang serta hak asasi manusia supaya bersuara dengan nada yang teguh.

"Tragedi yang sedang berlaku di Gaza ialah ujian tentang nilai kemanusiaan bersama. Seluruh keluarga dibunuh. Kanak-kanak, malah bayi juga, turut terkorban. Yang lain pula menderita akibat kebuluran. Pengabaian terhadap nyawa dan maruah manusia harus dihentikan, kerana ia melanggar kod moral paling asas.

"Saya secara khusus, merayu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak supaya pembunuhan ditamatkan segera, hentikan pengeboman secara melulu dan pastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan," kata Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata Malaysia sedia bekerjasama dengan semua negara – dari Utara dan Selatan, Timur dan Barat – untuk membawakan bantuan kepada Gaza dan mengembalikan prinsip asas kemanusiaan.

"Inilah masanya untuk kepimpinan moral. Inilah saatnya untuk menjunjung nilai-nilai yang dikatakan kita pertahankan. Janganlah kita dikenang sebagai pihak yang berdiam diri. Biarlah kita dibimbing oleh hati nurani, membalas penderitaan dengan belas kasihan, dan menggalakkan keamanan demi kemanusiaan," kata beliau.

Terdahulu, Anwar ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata pendirian Malaysia tentang isu Gaza di Palestin dan negara Asia Barat termasuk Iran tidak akan berubah walaupun berkemungkinan berdepan ugutan dan bantahan daripada AS dalam rundingan tarif yang masih berjalan hingga Ogos ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619