AGENDA

PdPR dilaksana jika bacaan IPU lebih 200

22 Jul 2025, 10:29 AM
PdPR dilaksana jika bacaan IPU lebih 200

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Menteri berkenaan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan sedia ada KPM yang diselaraskan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Kesihatan.

“Berdasarkan garis panduan, kalau IPU lebih 100 tidak boleh (lakukan) aktiviti luar. Lebih daripada 200, PdPR, maksudnya memang akan belajar secara dalam talian.

"Dari segi garis panduan itu jelas, penjelasan juga telah diberikan kepada semua pengarah negeri untuk buat keputusan segera sekiranya berdasarkan pedoman IPU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar, Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu 116 dan Johan Setia di Selangor (154), setakat 4 petang ini.

Menurut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 101 hingga 200 yang dikategorikan sebagai tidak sihat, boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara dan orang ramai boleh merujuk laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau memuat turun aplikasi MyJAS EQMS melalui Google Play atau App Store.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619