ad
AGENDA

PM: Rundingan tarif AS tidak ubah pendirian Malaysia terhadap Palestin

22 Jul 2025, 4:10 AM
PM: Rundingan tarif AS tidak ubah pendirian Malaysia terhadap Palestin

SHAH ALAM, 22 JULAI: Malaysia memiliki keupayaan untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada Palestin dan masih menunggu kebenaran masuk ke negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mempunyai kelengkapan, dana dan kemudahan tetapi tidak dapat teruskan penghantaran kerana dihalang rejim Israel.

“Kita buat juga (penghantaran bantuan) melalui Qatar tetapi hanya satu kumpulan sahaja yang berjaya dan kumpulan kedua dihalang. Sekarang ini kita ada keupayaan tetapi tidak dapat teruskan.

“Lori ada beratus tetapi ada yang telah punah. Ini kita sedang berurusan dengan satu negara yang kurang siuman,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia tidak akan berganjak dengan pendirian tegas terhadap kemelut di Asia Barat meski rundingan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) masih belum selesai.

Jelasnya, beliau maklum terhadap tindakan AS yang menaikkan tarif 50 peratus kepada Brazil berikutan kelantangan pemimpin negara itu terhadap isu Palestin selain penyertaan Brazil dalam kumpulan negara membangun, BRICS.

“Kita belum ke rundingan terakhir (bersama AS) tapi kita ada pertimbangan besar iaitu sektor elektrik dan elektronik (E dan E). Mereka juga perlukan E dan E kita.

“Kita harap dapat diselesaikan dengan baik. Itu tidak akan merubah pendirian tegas kita untuk suarakan pendapat kita,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda).

Awal bulan ini, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif import 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Bagaimanapun, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk meneruskan rundingan bersama AS bagi menangani isu yang belum selesai dan penyelesaian yang wajar.

AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar, dengan jumlah dagangan pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.