AGENDA

SKMM siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik babit PM

22 Jul 2025, 3:02 AM
SKMM siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik babit PM

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyita seunit telefon bimbit serta kad SIM seorang pengguna aplikasi TikTok, yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kandungan itu, dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berhubung pesta tidak bermoral dalam negara, serta kenyataan rasmi Anwar mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.

“Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi perdana menteri ke luar negara,” menurut kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa SKMM sudah merakam keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, semalam bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

SKMM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas, serta akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619