ADN

Kesan pemaju, pengarah syarikat selesai isu lot Bumiputera Taman Amansiara

20 Jul 2025, 8:49 AM
Kesan pemaju, pengarah syarikat selesai isu lot Bumiputera Taman Amansiara

Oleh: Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pemaju dan pengarah syarikat yang dipercayai menjual unit kediaman berstatus lot Bumiputera Pangsapuri Taman Amansiara kepada pembeli bukan Bumiputera tanpa memaklumkan status sebenar unit berkenaan kini dicari pihak berkuasa.

Wakil Rakyat Taman Templer Anfaal Saari memaklumkan, 564 pembeli bukan Bumiputera terkesan apabila hanya mengetahui status sebenar unit mereka sebagai lot Bumiputera ketika mengemukakan permohonan hak milik strata di pejabat tanah.

“Jadi disebabkan itu, tujuh peratus diskaun untuk Bumiputera itu perlu dibayar kepada pejabat tanah sedangkan dari awal mereka tidak dimaklumkan.

“Sekarang ini mereka adalah mangsa. Untuk penyelesaian, di peringkat negeri apabila berkaitan dengan dasar, sekian kuota perlu diberikan kepada Bumiputera.

“Jadi kita tidak boleh menjejaskan dasar ini dengan mengurangkan, ini akan mengurangkan ekuiti Bumiputera kepada pemilikan rumah," katanya.

Menurut Anfaal, penyelesaian yang adil perlu dicari bagi memastikan pembeli yang menjadi mangsa terbela, sambil memastikan dasar sedia ada kekal dipertahankan.

“Kita perlu cari pemaju tidak bertanggungjawab ini, yang sudah pasti telah 'liquidated' ataupun muflis dan sebenarnya yang perlu ambil tanggungjawab adalah pengarah syarikat yang mungkin lepas tangan dan mengulangi modus operandi sama.

“Proses selama tiga bulan ini dijalankan bersama pihak liquidator bagi mengesan individu terlibat, dan sekiranya perlu serta wajar, tindakan undang-undang akan diambil termasuk pendakwaan di mahkamah.

"Cuma yang berkaitan dengan perundangan, itu di peringkat Kerajaan Negeri melalui sekretariat di bawah EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah,” katanya.

Anfaal yang juga EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat mencadangkan syarat pengesahan status unit diperketatkan bagi memastikan pembeli mengetahui maklumat sebenar sejak awal proses pembelian.

“Untuk jaminan, saya kira yang perlu diperketatkan selepas ini adalah mungkin kepada ‘endorsement’ setiap unit itu yang diketahui lebih awal, yang mana lot Bumiputera ataupun bukan, supaya pembeli dari awal lagi mengetahui unit tersebut secara telus, bukan disembunyikan atau diselindungkan oleh pihak pemaju,” tegasnya.

Khamis lalu, satu mesyuarat penyelarasan diadakan bersama EXCO Perumahan bagi mencari penyelesaian terbaik buat 564 penduduk Pangsapuri Taman Amansiara yang terperangkap dalam isu pembelian lot Bumiputera tanpa dimaklumkan oleh pemaju tidak bertanggungjawab.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619