ad
AGENDA

Gangguan sistem pagar automatik: Tiada unsur sabotaj, serangan siber dikesan

20 Jul 2025, 7:29 AM
Gangguan sistem pagar automatik: Tiada unsur sabotaj, serangan siber dikesan

SEPANG, 20 JULAI: Tiada unsur sabotaj atau serangan siber dikesan setakat ini sebagai punca gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing, kata Ketua Pengarah (KP) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata isu itu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.

“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kesemua sistem pagar automatik untuk pelawat asing yang terjejas sebelum ini kini kembali beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem berkenaan dan berusaha memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

Gangguan sistem pagar automatik dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas dan berlarutan sehingga petang semalam.

Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Susulan itu, AKPS telah mengambil langkah mitigasi bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu-pintu masuk terjejas.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.