EXCO

RM308,000 ceria 77 kampung baru Selangor, kurang kos sampah

19 Jul 2025, 10:35 AM
RM308,000 ceria 77 kampung baru Selangor, kurang kos sampah
RM308,000 ceria 77 kampung baru Selangor, kurang kos sampah
RM308,000 ceria 77 kampung baru Selangor, kurang kos sampah
RM308,000 ceria 77 kampung baru Selangor, kurang kos sampah

OLEH CHUAH CHEE HWAI

KLANG, 19 JULAI: Sebanyak RM308,000 diperuntukkan kepada 77 kampung baru di Selangor menerusi Program Rejuvenasi Kampung Baru Selangor 2025 bagi melaksanakan aktiviti gotong-royong dan menceriakan kawasan kampung masing-masing.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baru, Dato’ Ng Suee Lim berkata, setiap kampung menerima peruntukan sebanyak RM4,000 yang boleh digunakan bagi kerja gotong-royong mengecat semula dan menanam tumbuhan hijau sebagai persiapan menyertai pertandingan "Kampung Baru Contoh Terbaik".

Katanya, pertandingan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk kampung terhadap kebersihan dan penjagaan alam sekitar, selain membantu mengurangkan kos pengurusan sisa yang semakin membebankan pihak berkuasa tempatan.

[caption id="attachment_711198" align="aligncenter" width="682"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berucap pada Program Rejuvenasi Kampung Baru tahun 2025 di Kampung Bagan Hylam Klang pada 19 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Pegawai pejabat tanah di setiap daerah akan membuat penilaian di kampung masing-masing pada tarikh yang ditetapkan dan memilih tiga kampung terbaik. Juara setiap daerah kemudiannya akan bersaing untuk merebut gelaran Kampung Baru Contoh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran program dan aktiviti gotong-royong berkenaan di Kampung Hailam, Klang, hari ini.

Tambah beliau, semua pemenang akan menerima hadiah wang tunai menarik termasuk lima anugerah khas yang akan diumumkan kemudian.

Majlis penyampaian anugerah dijangka diadakan pada bulan November dalam bentuk majlis makan malam, sebagai usaha menyemai semangat cintakan alam sekitar dan kesedaran penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk, terutamanya golongan muda.

“Selain meningkatkan kesedaran, pengurusan sampah di Selangor juga kini menjadi satu beban yang besar, malah ada pihak berkuasa tempatan tidak mampu menanggung kosnya,” katanya.

[caption id="attachment_711197" align="aligncenter" width="691"] Peserta bergotong-royong mengutip Sampah pada Program Rejuvenasi Kampung Baru tahun 2025 di Kampung Bagan Hylam Klang pada 19 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau menjelaskan, kos pengurusan sampah menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tahunan pihak berkuasa tempatan.

“Oleh itu, penyertaan semua pihak dalam amalan hijau dan gaya hidup rendah karbon dapat membantu mengurangkan kos ini. Kita juga mahu kampung baru dihias dan dipelihara dengan baik agar mempunyai daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong, sekaligus merancakkan sektor pelancongan dan pembangunan kawasan sekitar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pesta Kampung Baru Selangor akan diadakan pada 1 dan 2 November di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pandamaran A, sebagai platform mempromosikan kampung-kampung baru dan pelancongan di Selangor.

[caption id="attachment_711201" align="aligncenter" width="698"] Peserta bergotong-royong mengutip Sampah pada Program Rejuvenasi Kampung Baru tahun 2025 di Kampung Bagan Hylam Klang pada 19 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619