ad
AGENDA

Cadangan cukai basikal tak masuk akal, kata aktivis Akmal

19 Jul 2025, 2:00 AM
Cadangan cukai basikal tak masuk akal, kata aktivis Akmal
Cadangan cukai basikal tak masuk akal, kata aktivis Akmal

OLEH AIDA NYAN

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Seorang aktivis berbasikal menolak cadangan agar penunggang basikal dikenakan cukai jalan dan menyifatkan cadangan itu sebagai tidak logik.

Menurut Akmal Azfar Abd Mutalib, 37, cukai jalan yang dibayar ketika memperbaharui Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) hanya terpakai untuk kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal.

“Basikal bukan kenderaan bermotor, jadi tidak perlu LKM. Kalau ikut logik ‘siapa tak bayar tak boleh guna jalan’, adakah motosikal pun tak layak guna lebuh raya sebab tak bayar tol?” soal Akmal Azfar ketika ditemui di bengkel miliknya, The Basikal di Dutamas baru-baru ini.

Jelas beliau, sistem percukaian sedia ada membolehkan kenderaan besar membantu menyubsidi penggunaan kenderaan ringan seperti basikal, yang lebih mesra alam dan tidak menyumbang kepada kesesakan.

[caption id="attachment_711040" align="aligncenter" width="669"] Aktivis berbasikal, Akmal Azfar Abd Mutalib ketika ditemui di The Basikal di Dutamas, Kuala Lumpur.[/caption]

Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang membandingkan Malaysia dengan negara maju, beliau menegaskan bahawa keperluan pendaftaran basikal di negara seperti Jepun dan beberapa negara Eropah bukanlah untuk pelesenan seperti LKM.

“Di Eropah, hanya basikal yang boleh mencecah kelajuan melebihi 45 kilometer sejam perlu didaftarkan kerana dikira sebagai moped,” katanya.

Akmal Azfar yang juga graduan Sains dan Alam Sekitar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) turut memberi amaran bahawa peraturan yang tidak berlandaskan pertimbangan jangka panjang boleh menjejaskan budaya berbasikal.

“Di Australia, jumlah penunggang basikal merosot hampir 40 peratus selepas mereka wajibkan pemakaian topi keledar sekitar awal 1990-an. Ini membuktikan undang-undang yang tidak mesra pengguna boleh memberi kesan negatif,” ujarnya.

Sebaliknya, beliau berpendapat pendidikan dan kesedaran dalam kalangan semua pengguna jalan raya adalah lebih penting untuk mewujudkan ekosistem lalu lintas yang adil dan selamat.

Isu cadangan mengenakan cukai terhadap penunggang basikal kembali hangat susulan video tular melibatkan pertengkaran antara kumpulan berbasikal dan seorang pemandu bas di Kuala Selangor, dipercayai berpunca daripada tindakan menghalang laluan.

Ekoran itu, segelintir pengguna media sosial mendakwa penunggang basikal tidak sepatutnya berada di atas jalan raya kerana tidak menyumbang melalui cukai – kenyataan yang dibidas aktivis seperti Akmal.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.