Oleh M Emir
“ Karya-karyaku akan hilang di media / karya-karyaku tak akan lagi ditemui di peta /”
Penulis eksperimental yang terkenal dengan gaya anehnya iaitu memakai selipar jepun ketika menghadiri acara puisi amat kecewa apabila karyanya tidak disiarkan editor. Fenomena kenaikan penulis yang baru bernafas dengan nafas berat telah menyebabkan karyanya tidak lagi dipilih (mungkin citarasa editor telah beralih kepada karya berbentuk melankolik dan arus perdana dan tidak avant-garde.) karya eksperimental seperti puisi konkrit amat sukar untuk ditemukan kecuali tulisan Natasha Aziz yang kini telah menjadi penulis paling berjaya dalam negara menggantikan Encik A, penulis eksperimental yang sering kali disebut-sebut sewaktu dahulu. Dia pernah menggemparkan sastera tanah air apabila memenangi Hadiah Nobel seawal usia 16 tahun. Namun fikir Encik A, segalanya berubah apabila asap hitam yang tebal menggigit bibir sastera. Encik A tidak menyalahkan editor sepenuhnya, mungkin juga krafnya semakin kurang bermutu, namun dia aneh, sejak pembasmian editor secara besar-besaran berlaku sehingga diganti dengan editor lain. Editor lain bukanlah dalam kalangan penulis sebaliknya dalam kalangan pembuat anak patung mainan gajah yang tidak mempunyai asas dalam penulisan (jika ya, mungkin ini metafora), (jika tidak, mungkin dia pernah membuat anak patung gajah berwarna kelabu yang kurang bermutu kepunyaan adik saya) itu tidak penting dalam naratif ini. Kita tinggalkan masalah editor di belakang waktu yang lembab sangat berjalan. Kita beralih pula kepada masalah Encik A yang sudah lama tidak menyiarkan karyanya di mana-mana bukan kerana dia tidak menulis, tetapi, kerana editor tidak menerima. Fenomena gempar ini telah menyebabkan tercetusnya dialog orang muda. Seperti Wan Nor Azriq nyatakan dalam Kumpulan Cerpen Mana Dadu Darjeeling? orang tua sering dipinggirkan menyebabkan mereka berpersatuan. Tetapi dalam naratif tanpa perenggan ini, [sengaja dibuat tak berperenggan atas premis yang samar-samar] orang muda mula aktif berpersatuan untuk mengecam tindakan editor yang tidak mempunyai kelayakan. Dia masih berselipar Jepun walaupun sudah lama tidak menulis. Pekerjaan dia sekarang hanyalah memberi bengkel di tepi jalan berkenaan sajak dan cerpen. Seekor kucing hitam melintas di hadapan. Mungkin petanda malang dan kerugian buat dirinya akan menikam dari empat arah. Angin menelan asap yang terapung-apung di kota. “Koi nak baca sajak?” alangkah terkejut dan teruja apabila ada yang mahu membacakan sajak kepadanya (mungkin ini tanda hormat seorang junior sastera kepada senior sastera yang underrated). “Silakan. Sajak siapa mahu baca?” budak Chenor tadi disoal. Budak Chenor membalas “Bagaimana kalau saya membacakan sajak A.” Encik A. bangga. Dia hanya mengangguk. “Saya baca ya. Ehem ehem…” Budak Chenor berdehem dua kali. Awan menetes hujan rintik-rintik. Oleh sebab tekadnya untuk membacakan sajak, saya hanya mengiakan. “Suatu saat apabila sastera sudah psiko, juri akan delusi, editor akan kroni, aku akan mati.” Alangkah terkejutnya Encik A. apabila dia membacakan sajak terpendek yang ditulisnya. Sajak ini ialah sajak terakhir yang dikarang sebagai penyair di hadapan lampu neon yang menelan noir malam. “Ini memang menusuk kalbu.” A. kata kepada budak Chenor tadi. Budak Chenor itu angguk lalu beredar sambil menempel senyuman seperti pahlawan. Sebelum beredar dia sempat menggetarkan jantungku lagi sekali. “Siapa nama kamu?” Encik A. bertanya kepada budak Chenor. Budak Chenor lantas menjawab, “Aku Encik A.” Encik A. pengsan dan dibawa ke hospital. Apabila membuka mata, antara sedar dan maya, dia melihat seseorang menghulurkan tangan kepadanya. Tangan yang sama membawa trauma dalam hidupnya. Tangan yang sama memecahkan bebola impiannya. Tangan yang sama menjadikan tubuhnya melayang-layang antara dua angin yang bertiup. Dia memejamkan mata dan membuka kembali. Kali ini tangan yang lain terhulur. Dengan kod putih, Encik A. menggerak-gerakkan tangan yang digari pada katil. Tiga butir ubat disuap ke bibirnya. Segala trauma yang pernah dilaluinya selama bergelar penulis berputar-putar di kepala. Tempat itu dicat dengan warna biru meski warna sebenarnya putih, dia masih melihatnya sebagai biru kerana yang dia nampak ketika ini hanyalah kata-katanya yang menjadi sepi. Dia pernah menjadi penulis gergasi dan kini dia ada di sini. Tahulah kita akan misteri kehilangan penulis ini bukan berasal daripada editor tetapi dari sini. Setelah sedar, dia menulis sajak terakhir yang datang ke dalam mimpi kita, “aku telah menyumbang segalanya, pena ini adalah setitik air di gurun Sahara, pen ini adalah dakwat yang menjadi oasis di tengah kepanasan / aku dah melakukan tugas aku / kini tunggu kau menjadi T.S Eliot kontemporari / aku serahkan segala tugas menulis ini kepada kalian / mungkin bukan macam sajak / mungkin ini kelihatan seperti warkah / benarlah / ia bukan salah editor / tetapi gila menyebabkan kraf aku kurang psiko / tapi anehnya aku yang psiko /…” Kini kita semua tidak lagi mendengar nafas berat keluar daripada tubuh A. dan kita saksikan sendiri pemergian buat selama-lamanya pengarang yang telah menyumbang. Mungkin Nobita akan lebih bahagia jika dirundung pilu. Mungkin A. akan lebih bahagia jika dia mati. Ya, dia sudah mati. A. sengaja mahu ‘mati’ dalam Namanya di industri. Telah mati pada nama, mungkin pada jasadnya. Dengan umur yang mencecah 90 tahun, anda berhak meragui kenyataan saya. Tetapi faktanya, A., pasti tak akan ditemui lagi di acara puisi.